Mereka merupakan antara insan-insan yang telah membuat percaturan hidup yang salah suatu masa dahulu. Golongan ini terperangkap di antara keinginan yang tinggi dalam diri lalu memilih jalan hitam sebagai panduan. Namun, tanpa disedari, jalan tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada diri, tetapi hanya kesengsaraan yang berpanjangan. Siapakah mereka yang saya maksudkan? Ya, mereka adalah golongan pelatih di PUSPEN (atau dahulunya lebih dikenali sebagai Pusat Serenti).
Pada 3 Oktober lalu, Unit PISMK-OUM PJKbersama KPLI B&K telah mengadakan program lawatan di PUSPEN Benta. Ini merupakan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke tempat yang bergelar pusat serenti. Saat tibanya di sana, perbagai pertanyaan timbul di dalam hati. Melihat keadaan pusat yang jauh dari kehidupan orang ramai, hati ini terdetik: Bagaimana agaknya kehidupan mereka di sini? Itulah persoalan pertama yang bermain di fikiran. Semasa kami tiba, pelatih-pelatih ini sedang membuat panggilan baris. Dapat dilihat di sini, terdapat tiga kumpulan pelatih yang memakai tiga warna t-shirt yang berlainan. Menurut pegawai di sini, mereka diasingkan mengikut tempoh rawatan pemulihan yang telah diberikan.
Detoks..pernahkah anda mendengar perkataan ini? Detoks berperanan sebagai tempat tahanan pertama pelatih. Mereka dicampak ke sini sebagai satu proses nyahtoksik, atau membuang gian penagih. Ditahan di sini untuk tempoh dua minggu tanpa dibenarkan berjumpa orang lain. Fuh! Melihat keadaan bilik tesebut, hampir loya tekak dan hampir pitam dibuatnya! Tandas, tempat tidur, makan semuanya di tempat yang sama. Kita sebagai manusia normal, mampukah hidup di tempat sedemikian??
Rata-rata daripada mereka apabila ditanya mengenai penglibatan awal dalam 'bidang' ini, masing-masing terlibat disebabkan oleh keinginan tinggi yang ada dalam diri untuk mencuba. Selain itu, pengaruh daripada rakan sebaya juga dilihat sebagai penyumbang utama kepada masalah penagihan dadah. Semakin hari, bilangan penagih semakin meningkat. Kita, sebagai ahli masyarakat.. apakah sumbangan kita terhadap masalah ini??
Terus-terang saya katakan, diri ini sendiri kurang mempunyai keyakinan untuk mempercayai golongan ini walaupun berkali-kali mengatakan bahawa mereka sudah insaf. Mengapa saya berkata begitu? Melihat kepada keadaan mereka setelah tiga hingga empat kali keluar masuk pusat, adakah ini dilihat sebagai sudah insaf? Anda sendiri mampu menilainya. Maaf, ini hanyalah pendapat peribadi. Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi di sini, namun biarlah hanya saya yang tahu. Tak semua perkara di sana boleh diceritakan di sini.
Sebagai ahli masyarakat, tunaikanlah tanggungjawab sosial kita terhadap mereka selagi termampu. Terima mereka sebagai ahli masyarakat, jangan sisihkan mereka..
"TIADA YANG KEKAL MELAINKAN BERUBAH"
::MysangKora:: Ini baru kes dadah. Macam mana pula kes hidu gam yang makin berleluasa di kalangan murid-murid sekolah rendah yang terjebak seawal usia sembilan tahun?? Bukankah sepatutnya untuk usia semuda ini kanak2 ini perlukan pantauan daripada ibu bapa dan ahli keluarga mereka? Ini serius, perkara ini perlu diberi perhatian!!