:: Penyokong Wira Merah Ganas?::


IMBAS KEMBALI... Sebahagian penyokong Kelantan yang menyaksikan final Piala Malaysia menentang egeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas.


Barangkali jika ada anugerah persatuan paling popular dan kontroversi tahun ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) adalah calon yang paling layak untuk menerimanya.

Apa tidaknya, KAFA tidak pernah sunyi daripada menjadi perhatian umum bukan sahaja kerana peningkatan mendadak pemain Kelantan tetapi angkara peminat fanatik yang tidak kena cara.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pernah memberitahu, KAFA antara persatuan bola sepak yang paling banyak membayar denda sehingga melebihi modal yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini jelas kerana FAM hanya memperuntukkan RM300,000 kepada setiap pasukan bertanding tetapi sehingga kini, denda yang dibayar KAFA kepada FAM sudah melebihi modal yang diberikan. Terbaru, KAFA didenda RM50,000 angkara keganasan yang dicetuskan penyokong Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Penjelasan itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa cabaran menguruskan KAFA bukan semudah yang disangka walaupun ada pihak menganggap KAFA adalah persatuan bola sepak paling mewah hasil penjualan tiket kerana kehadiran penonton yang begitu ramai pada setiap perlawanan. Dua musim diterajui Annuar, kantung KAFA sudah mula terisi.

Setiap perlawanan melibatkan pasukan Kelantan hampir 20,000 hingga 25,000 penyokong akan membanjiri stadium keramat mereka Stadium Sultan Muhammed IV itu, sekali gus menjadikan KAFA sedikit lega untuk menampung keperluan kewangan.

Bagaimanapun, hasil yang masuk ke akaun KAFA tidak mampu untuk bertahan lama dan jumlah kutipan tiket yang diperoleh masih belum mampu untuk ‘menyenangkan’ pihak persatuan gara-gara sikap penonton skuad Wira Merah yang ‘aneh dan pelik’.

Sikap fanatik tidak kena cara dan kurang bijak dengan membaling mercun dan bunga api serta objek lain seperti botol dan bekas air menyebabkan mereka sudah di cop sebagai antara penyokong paling bermasalah di Malaysia.

Namun, seperti tidak adil kepada penyokong Kelantan apabila setiap kali insiden keganasan, seluruh mata terus tertumpu ke arah mereka.Secara jelasnya, insiden 7 April lalu ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Kota Bharu benar-benar memberi kesan terhadap maruah penyokong Kelantan.Mereka secara terus-terusan dituduh sebagai penyokong bermasalah dan sering mencetuskan keadaan yang tidak sihat.

Masalah kelakuan penyokong tidak beradab bukanlah masalah Kelantan sahaja.

Menyorot kembali permasalahan yang dicetus oleh penyokong, musim ini bukan sahaja penyokong Kelantan malah penyokong Perlis dan Terengganu juga adalah antara watak yang turut mencetuskan kontroversi.

Namun, double standard yang wujud cukup mengguriskan hati puluhan ribu penyokong dan peminat Kelantan apabila tindakan yang diambil oleh FAM kepada penyokong selain daripada penyokong Kelantan hanya sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’.

Keganasan penyokong yang timbul di luar Stadium Utama, Kangar pada 31 Oktober lalu menyaksikan penyokong Kelantan ‘dibantai’ teruk di laman lawan.


ANNUAR


Lebih 20 buah kenderaan dirosakkan termasuk bas yang membawa pemain-pemain Kelantan.Letupan mercun dan balingan objek juga cukup meriah di sana sehinggakan salah satu mercun yang dibaling hampir mengenai salah seorang pemain Kelantan yang terbaring kerana mengalami kecederaan ketika itu.Namun, FAM sepeti ‘membutakan’ mata dan ‘memekakkan’ telinga kerana tiada tindakan diambil terhadap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).Apa yang menghairankan, kejadian tersebut bukan sahaja disaksikan oleh penyokong Kelantan yang hadir di stadium, malah jutaan yang lain kerana perlawanan tersebut disiarkan secara langsung oleh RTM.

Barangkali perlawanan yang berlangsung pada malam tersebut tidak disaksikan oleh seorang pun mereka yang berada di dalam jawatankuasa disiplin atau jawatankuasa pertandingan atau apa-apa jawatankuasa lagi yang ada di Wisma FAM, Kelana Jaya menyebabkan badan induk bola sepak negara itu tidak mempunyai bukti untuk menghukum PFA.

Aneh tetapi itulah realiti yang dihadapi oleh KAFA dan penyokong Kelantan apabila mereka seperti dianaktirikan dan seolah-olah Kelantan ini adalah pasukan bola sepak dari negara jiran yang tumpang bertanding dalam Liga Malaysia.

Di Kuala Terengganu tempoh hari, kekalutan melibatkan penyokong turut berlaku. Perlawanan peringkat kumpulan antara Negeri Sembilan dan Terengganu turut dicemari dengan insiden balingan mercun.

Lebih teruk daripada itu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin yang sememangnya tidak begitu sempurna menyebabkan ada penonton yang masuk ke padang dan cuba menyerang pengadil dan pegawai pertandingan selain pemain pasukan pelawat.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya didenda RM16,000 kerana tiga kesalahan iaitu membaling botol terhadap pegawai perlawanan (RM5,000), penyokong meluru masuk ke padang (RM5,000) dan cuba memukul pengadil (RM6,000).

Dendanya murah dan mungkin ia adalah kesalahan pertama penyokong Terengganu atau sebaliknya.Hanya FAM yang mengetahui segala yang tersirat itu. Bagi penyokong Kelantan, ini adalah masa untuk mereka berubah dan turut sama merasai tanggungjawab yang dipikul oleh KAFA. Mereka mungkin lebih dihormati sekiranya memiliki pasukan yang hebat dan dalam masa yang sama, mereka memberi sokongan dengan cara yang lebih profesional.

0 Responses