Friday, August 20, 2010
|
by ::KatakPisang::
Ketika sibuk menggodek-godek blog dan web orang lain, terjumpa satu artikel ni. Setiap seorang daripada kita tidak pernah terlepas daripada dibelenggu pengalaman lalu. Lalu, mengapa perlu pengalaman lalu menjadi penghalang kepada kejayaan yang bakal kita kecapi. Check this out.
Pengalaman. Guru yang sangat berkesan. Boleh jadi satu memori hitam yang cukup menyakitkan.
Apa yang sedang kita alami sekarang, sebentar lagi akan menjadi pengalaman. Setiap hari kita menimba pengalaman baru, meneroka alam kehidupan yang penuh dengan perkara-perkara yang harus dialami, tiada terkecuali. Sekadar pengalaman tidak cukup membuatkan kita menjadi lebih baik jika tidak ada yang kita pelajari daripadanya. Bahkan mungkin, pengalaman dapat membawa kita ke dalam kehidupan yang penuh kerisauan, ketakutan, kebimbangan dan ketidakpastian. Kita buntu, tidak berani melangkah kerana pengalaman silam cukup memeritkan. Apabila itu yang kita alami dan kita tidak bisa keluar daripada pola pemikiran tersebut, sedarilah bahawa kita sedang DIBELENGGU PENGALAMAN!
Pengalaman Memberi Kesan
Sedar atau tidak, pengalaman memberikan kesan yang besar dalam kehidupan kita. Impak daripada pengalaman bergantung kepada respons ataupun tindakbalas kita terhadap pengalaman tersebut. Seperit mana pengalaman pasti bererti buat orang yang tahu belajar daripadanya. Sebaliknya, semanis mana pengalaman takkan ada harganya bagi orang yang tidak pernah ingin berubah menjadi lebih baik. Contohnya, kegagalan dalam hidup boleh jadi membuatkan seseorang semakin gigih untuk mengecap kejayaan, mungkin juga ada yang semakin takut menghadapi ujian dek kegagalan yang pernah ia alami. Kesannya berbeza, dengan situasi yang sama. Itulah dia bahaya yang harus kita hadapi daripada pengalaman seharian dalam kehidupan.
Jangan sampai belenggu yang kita letakkan daripada sesuatu pengalaman membuatkan kita terperosok dalam hidup yang penuh penyesalan dan tanda tanya. Silakan! Silakan jika kita ingin salahkan persekitaran, situasi dan fenomena. Tetapi ingat bahawa selamanya kita takkan pernah menjadi lebih baik dan belajar daripada pengalaman.
Permasalahan utama ialah diri sebelum persekitaran.
Cuba kita renungkan, berapa banyak pengalaman yang telah melonjakkan kita menjadi lebih baik? Dan berapa banyak pula pengalaman yang menolak kita ke belakang untuk sentiasa pasif dalam kehidupan? Fikirkan! Jangan biar belenggu itu menguasai diri kita!
Belajar daripada pengalaman
Bagaimana caranya agar kita bisa belajar daripada setiap pengalaman yang kita lalui dan menjadikannya sebagai stimulus atau perangsang kepada kehidupan yang lebih baik?
Jadilah orang yang positif! Mengapa perlu masa silam menjadi dinding untuk kita terus maju ke hadapan? Adakah kita terlalu lemah sehingga hidup kita terkongkong dalam pengalaman peribadi yang memasukkan kita ke tahap pemikiran “STATIK” dan tidak “PRODUKTIF”? Apakah segala yang Allah timpakan kepada kita bertujuan untuk menolak kita ke belakang dan menghalang kita untuk terus melaksanakan perintahnya dengan penuh semangat dan bertenaga? Jangan sampai kita menyalahkan takdir sedangkan permasalahan sebenar adalah DALAM DIRI KITA!
Seribu Satu Pengalaman
Dalam hidup ini, seribu satu perkara akan kita alami. Ertinya, seribu satu pengalaman akan kita perolehi dalam pelbagai aspek kehidupan. Orang positif akan melihat ini sebagai peluang untuk menjadi lebih baik dalam setiap aspek kehidupan. Orang lemah dan negatif akan membuat alasan untuk mundur dalam segenap aspek kehidupan.
“Aku dah pernah try dah, memang tak boleh punya….“
Cukup! Cukup dengan alasan ini yang membuatkan kita menjadi lemah dan hina tanpa daya usaha yang gigih demi mencapai Redha Allah. Adakah Rasulullah berhenti berdakwah setelah pengalaman yang Baginda peroleh hasil kerja Dakwah di Thaif? Adakah Nabi Nuh lari daripada medan Dakwah setelah seruannya malam dan siang tak pernah diendahkan? Bukankah itu pengalaman?
Adakah Thomas Edison berhenti membuat eksperimen mencipta mentol setelah mengalami kegagalan beberapa kali? Bahkan mencecah ribuan. Adakah rakyat Palestin terus menyerah kerana telah beberapa kali mengalami penindasan oleh Israel dan sehingga hari ini masih lagi ditindas? Tapi kita? Sedikit ujian telah cukup membina dinding tebal yang menghalang kita untuk terus maju. Lihatlah besarnya kesan “BELENGGU PENGALAMAN”
Ingatlah wahai pembaca dan sahabat sekalian, tidak ada siapa yang rugi jika kita terus berada dalam belenggu pengalaman. Bahkan, kitalah yang akan terus ketinggalan di belakang di saat orang terus menerus mencipta kejayaan demi kejayaan. Jika kita salah seorang yang dibelenggu pengalaman, bagaimana kita boleh berbangga mengatakan AKU SEORANG ISLAM?
Islam tidak pernah mengajar Umatnya menjadi lemah dan takut, serta sering mencari alasan. Islam menyuruh kita menerobos ke dalam hati dan diri sendiri dan menjadi lebih baik!
Wallahua’lam.
Sumber: http://zulyunus.com
Saturday, August 14, 2010
|
by ::KatakPisang::
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.
Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.
Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.
Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?
Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.
Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…
Dipetik daripada:
Wednesday, August 11, 2010
|
by ::KatakPisang::
Assalamualaikum.
Tetamu agung itu sebentar lagi akan tiba, sudah siapkah kita untuk menyambutnya? Mungkinkah inilah Ramadhan terakhir kita sebelum menghadap kepada Yang Maha Kuasa? Betapa ramai orang-orang yang pada tahun-tahun sebelumnya masih berpuasa bersama kita, melakukan solat tarawih dan Aidilfitri di samping kita, namun ternyata sudah mendahului kita dan sekarang mereka telah berbaring di ‘peristirahatan umum’ ditemani haiwan-haiwan tanah. Dan bilakah pula akan datangnya giliran kita?
Jadikan Ramahan kali ini sebagai Ramadhan terakhir kita. Sama-sama bermohon kepada-Nya supaya segala amal kita diterima.
Wallahu`alam.
Saturday, June 19, 2010
|
by ::KatakPisang::
Tidak salah berfikir, cuma tidak perlu khuatir.
Sesuatu yang dirancang tanpa bekerja dan bekejar ke arahnya adalah sesuatu yang amat mustahil untuk direalisasikan. Usah dikhuatiri akan hal-hal yang tidak menentu dalam angan-angan kerana yang dalam angan-angan itu adalah samar. Mustahil untuk kita hidup dalam alam yang samar - masa lalu telah menjadi memori, masa depan masih lagi ilusi. Hidup hakikat ialah hari ini. Itulah realiti.
Hidup kita umpama membaca lembaran demi lembaran muka surat dari sebuah buku yang sangat tebal. Mengapa saya berkata begitu? Bandingkan hidup kita dengan dengan buku tersebut. Mampukah kita mengetahui apakah yang berlaku di pertengahan cerita sekiranya kita hanya membaca di lembaran awal dan akhir buku tersebut? Mustahil bukan. Jadi, tidak perlu gerun melihat buku yang tebal hingga hilang mood untuk membacanya. Jangan terlalu gelojoh, hingga membaca secara melompat-lompat tanpa mengikut tertib muka surat. Oleh itu, bacalah dari muka surat pertama, kedua dan seterusnya mengikut tertib sepertimana kita menunaikan solat. Setiap perkara yang dilakukan perlulah mengikut tertibnya yang tersendiri.
Hidup merupakan satu pusingan alam perubahan yang tidak henti-henti.
Hukum alam telah menetapkan bahawa sesuatu yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusia berubah mengikut peredaran masa serta dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Jangan sesekali cuba mengambil alih peranan Tuhan. Atau lebih mudah, jangan sesekali cuba merungkai perkara-perkara di luar batasan. Biarkah hidup berlalu mengikut yang telah ditetapkan. Jangan sesekali juga melampauinya.
Wednesday, April 21, 2010
|
by ::KatakPisang::
Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.
Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar.
Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.
Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta.
Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.
Demikian juga perkahwinan.
Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kea lam berumahtangga.
Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.
Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.
Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.
Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.
Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat. Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.
Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.
Sunday, February 07, 2010
|
by ::KatakPisang::
A new day has come!
Once again, syukran jazilan kerana masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk bernafas di bumi Allah Taala ni. Puas! Lega!
Hamba sangat berpuas hati dengan kehidupan yang dilalui sekarang.
Masalah? Lupakan seketika. Apa yang pasti, kehidupan pada hari ini cahayanya lebih cerah, lebih terang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Kerjaya?
Alhamdulillah, semuanya berpihak kepada hamba. tidak perlu bersusah payah seperti graduan lain, kerjaya sudah setia menunggu sejurus selepas tamat pengajian. Itulah untungnya menjadi seorang guru. Usah dinilai dengan wang ringgit.. Jika mahu kaya, usah impikan kerjaya ini. Tetapi, kiranya inginkan 'saham' akhirat, kerjaya ini memang memberikan pulangan yang sangat besar. Bagaimana caranya? IKHLAS! Itu yang pasti..laksanya tugas dengan sebaiknya.
Berbalik kepada soal masalah..
Setiap dari kita tidak terlepas dari dilanda masalah. Cinta? Tolak sahaja ke tepi.. hamba tidak memerlukan persoalan ini untuk beberapa ketika. Bukan riak, sebaliknya biarlah cinta itu hadir ketika tepat pada masanya. Usah memujuk atau merayu..ini pendirian hamba. Tidak perlu beratkan fikiran dengan masalah-masalah yang boleh mengganggu gugat kehidupan. apa yang pasti, tanggungjawab kepada ibu bapa perlu dilunaskan terlebih dahulu. Sekarang masa yang paling sesuai buat hamba membalas segala budi dan jasa ayah dan ibu yang telah banyak berkorban.
Hmm...apa lagi yang perlu dicoretkan di sini?
Moleh kiranya coretan dihentikan setakat ini sahaja.
Terlalu banyak yang ingin dicatatkan di sini, tatapi masa tidak mengizinkan.
Bila tiba masa dan waktunya, akan hamba kongsikan segalanya di sini.
=)
:: Coming up next::
Liburan Hujung Minggu Kami
Kisah Cinta Ain dan Pakcik Udin
Thursday, December 24, 2009
|
by ::KatakPisang::
Alhamdulillah... kebenaran telah diketahui. Setelah dua tiga hari asek berkepit ngan phone, akhirnya apa yang aku cari dah ditemui. SELANGOR! Ini tempat aku bakal curahkan bakti. Ahaks!
Memulakan tugas pertama di Selangor...langsung tak penah terlintas kat kepala otak aku. But, inilah hakikat yang perlu diterima. Dan aku pasti, setiap perkara selalunya ada hikmah tersendiri. Hurmmm... bila perancangan asal terpaksa ditukar, banyak perkara-perkara penting perlu difikirkan semula. Ahaks!
And one more thing, di sebalik setiap kegembiraan pasti terselit juga sedikit kekecewaan. What goes around comes around! Kalau ikutkan hati, aku nak je tepuk tangan kuat-kuat dan gelakkan sepenuh hati. Nak jugak cakap, padan muka ko. skang amik balik apa yang ko da buat kat aku dulu. Hahaha. Tapi aku tak dela kejam sangat cam devil tue. Hikhikhik.. tak perlu rasanya dijelaskan di sini apa yang dah terjadi. :)
Malam ni tak banyak sangat benda-benda yang nak dikongsi. Aku buntu! Otak jammed, memikirkan banyak perkara yang terpaksa dibuat perancangan semula.
Akhir kalam, wait for my next entry. Bila tu? I'm not so sure.. maybe bila semua benda-benda tergendala is in control, then i`ll continue my writting. So guys, thanks a lot bagi yang selalu reads my entry. Thanks a lot, frens! :)