:: Pengalaman Guru Berharga ::


Ketika sibuk menggodek-godek blog dan web orang lain, terjumpa satu artikel ni. Setiap seorang daripada kita tidak pernah terlepas daripada dibelenggu pengalaman lalu. Lalu, mengapa perlu pengalaman lalu menjadi penghalang kepada kejayaan yang bakal kita kecapi. Check this out.



Pengalaman. Guru yang sangat berkesan. Boleh jadi satu memori hitam yang cukup menyakitkan.
Apa yang sedang kita alami sekarang, sebentar lagi akan menjadi pengalaman. Setiap hari kita menimba pengalaman baru, meneroka alam kehidupan yang penuh dengan perkara-perkara yang harus dialami, tiada terkecuali. Sekadar pengalaman tidak cukup membuatkan kita menjadi lebih baik jika tidak ada yang kita pelajari daripadanya. Bahkan mungkin, pengalaman dapat membawa kita ke dalam kehidupan yang penuh kerisauan, ketakutan, kebimbangan dan ketidakpastian. Kita buntu, tidak berani melangkah kerana pengalaman silam cukup memeritkan. Apabila itu yang kita alami dan kita tidak bisa keluar daripada pola pemikiran tersebut, sedarilah bahawa kita sedang DIBELENGGU PENGALAMAN!

Pengalaman Memberi Kesan

Sedar atau tidak, pengalaman memberikan kesan yang besar dalam kehidupan kita. Impak daripada pengalaman bergantung kepada respons ataupun tindakbalas kita terhadap pengalaman tersebut. Seperit mana pengalaman pasti bererti buat orang yang tahu belajar daripadanya. Sebaliknya, semanis mana pengalaman takkan ada harganya bagi orang yang tidak pernah ingin berubah menjadi lebih baik. Contohnya, kegagalan dalam hidup boleh jadi membuatkan seseorang semakin gigih untuk mengecap kejayaan, mungkin juga ada yang semakin takut menghadapi ujian dek kegagalan yang pernah ia alami. Kesannya berbeza, dengan situasi yang sama. Itulah dia bahaya yang harus kita hadapi daripada pengalaman seharian dalam kehidupan.

Jangan sampai belenggu yang kita letakkan daripada sesuatu pengalaman membuatkan kita terperosok dalam hidup yang penuh penyesalan dan tanda tanya. Silakan! Silakan jika kita ingin salahkan persekitaran, situasi dan fenomena. Tetapi ingat bahawa selamanya kita takkan pernah menjadi lebih baik dan belajar daripada pengalaman.

Permasalahan utama ialah diri sebelum persekitaran.

Cuba kita renungkan, berapa banyak pengalaman yang telah melonjakkan kita menjadi lebih baik? Dan berapa banyak pula pengalaman yang menolak kita ke belakang untuk sentiasa pasif dalam kehidupan? Fikirkan! Jangan biar belenggu itu menguasai diri kita!

Belajar daripada pengalaman

Bagaimana caranya agar kita bisa belajar daripada setiap pengalaman yang kita lalui dan menjadikannya sebagai stimulus atau perangsang kepada kehidupan yang lebih baik?

Jadilah orang yang positif! Mengapa perlu masa silam menjadi dinding untuk kita terus maju ke hadapan? Adakah kita terlalu lemah sehingga hidup kita terkongkong dalam pengalaman peribadi yang memasukkan kita ke tahap pemikiran “STATIK” dan tidak “PRODUKTIF”? Apakah segala yang Allah timpakan kepada kita bertujuan untuk menolak kita ke belakang dan menghalang kita untuk terus melaksanakan perintahnya dengan penuh semangat dan bertenaga? Jangan sampai kita menyalahkan takdir sedangkan permasalahan sebenar adalah DALAM DIRI KITA!

Seribu Satu Pengalaman

Dalam hidup ini, seribu satu perkara akan kita alami. Ertinya, seribu satu pengalaman akan kita perolehi dalam pelbagai aspek kehidupan. Orang positif akan melihat ini sebagai peluang untuk menjadi lebih baik dalam setiap aspek kehidupan. Orang lemah dan negatif akan membuat alasan untuk mundur dalam segenap aspek kehidupan.

“Aku dah pernah try dah, memang tak boleh punya….“

Cukup! Cukup dengan alasan ini yang membuatkan kita menjadi lemah dan hina tanpa daya usaha yang gigih demi mencapai Redha Allah. Adakah Rasulullah berhenti berdakwah setelah pengalaman yang Baginda peroleh hasil kerja Dakwah di Thaif? Adakah Nabi Nuh lari daripada medan Dakwah setelah seruannya malam dan siang tak pernah diendahkan? Bukankah itu pengalaman?

Adakah Thomas Edison berhenti membuat eksperimen mencipta mentol setelah mengalami kegagalan beberapa kali? Bahkan mencecah ribuan. Adakah rakyat Palestin terus menyerah kerana telah beberapa kali mengalami penindasan oleh Israel dan sehingga hari ini masih lagi ditindas? Tapi kita? Sedikit ujian telah cukup membina dinding tebal yang menghalang kita untuk terus maju. Lihatlah besarnya kesan “BELENGGU PENGALAMAN”

Ingatlah wahai pembaca dan sahabat sekalian, tidak ada siapa yang rugi jika kita terus berada dalam belenggu pengalaman. Bahkan, kitalah yang akan terus ketinggalan di belakang di saat orang terus menerus mencipta kejayaan demi kejayaan. Jika kita salah seorang yang dibelenggu pengalaman, bagaimana kita boleh berbangga mengatakan AKU SEORANG ISLAM?

Islam tidak pernah mengajar Umatnya menjadi lemah dan takut, serta sering mencari alasan. Islam menyuruh kita menerobos ke dalam hati dan diri sendiri dan menjadi lebih baik!

Wallahua’lam.


Sumber: http://zulyunus.com
0 Responses